ANAK-ANAK EMAK POPULAR
- Farid Ramli
- Sep 15, 2019
- 3 min read

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah: “Saya ingin berjihad (berjuang) menegakkan agama Allah.” Rasulullah bertanya: “Apakah ibumu masih hidup?” Orang itu menjawab, ya. Rasulullah SAW bersabda. “Tetaplah engkau berada dekat di kaki ibumu itu, di sanalah syurga berada.” (Riwayat At-Thabrani).
Sungguh besar sekali kedudukan ibu di sini Allah SWT. Memang menjadi kewajipan setiap orang anak untuk mengasihi, menjaga serta menghormati si ibu. Inilah petanda anak-anak yang soleh.
Bagi kaum lelaki, ramai juga antara mereka yang bersikap manja dengan ibu sejak kecil sehingga dewasa. Oleh sebab itulah lahirnya istilah “anak emak”. Hal ini berlaku di mana-mana sahaja, dan dalam kalangan setiap masyarakat di dunia.
Istilah “mommy’s boy” ini dijelaskan di laman Wikipedia sebagai “A mother’s boy, also mummy’s boy or mama’s boy, is a man who is excessively attached to his mother at an age at which men are expected to be independent (e.g. live on their own, be economically independent, be married or about to be married).”
Walaupun ada sesetengah pihak menganggap “anak emak” dalam konotasi yang negatif (biasanya datang dari pasangan perempuannya, minta maaf), sikap menyayangi si ibu tidak kiralah apa pun usia kita adalah sebenarnya satu sikap yang murni dan terpuji. Menyayangi ibu adalah tuntutan agama, malangnya sifat ini biasanya dianggap remeh oleh golongan muda ketika ini. Janganlah kita lupakan jasa serta pengorbanan ibu kita dalam membesarkan dan menjaga kita tidak kiralah betapa sibuk atau berjayanya kita dalam kehidupan kita.
Berikut adalah beberapa contoh anak-anak emak popular di Malaysia. Semoga kita mengambil contoh dan inspirasi dari mereka yang dianggap berjaya dalam kerjaya dan kehidupan masing-masing, namun mereka tidak pernah lupa kepada wanita yang paling penting dalam kehidupan mereka.

Wak Doyok
Selebriti fesyen dan juga usahawan muda terkenal ini tidak pernah melupakan asal usulnya. Walaupun sudah berjaya dan dikenali ramai di Malaysia dan Indonesia, Wak Doyok, atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor sering berkongsi bersama peminat-peminatnya betapa beliau amat manja dan menyayangi ibu.
Kasih sayang serta jasa ibu tidak pernah dilupakan. Wak Doyok dengan penuh bangga beberapa kali berkongsi gambarnya bersama ibu. Pada tahun 2017, Wak Doyok pernah menghadiahkan sebuah rumah banglo untuk ibu demi membalas jasa ibu beliau yang berpenat lelah membesarkannya.
Sempena sambutan Hari Ibu tahun ini pula, Wak Doyok memberikan hadiah berupa sebuah kereta untuk ibunya untuk memudahkan ibu berjalan raya.
Semoga Wak Doyok terus dilimpahi rahmat dan dikurniakan rezeki.

Syed Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga suka berkongsi gambar dan cerita bersama ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz. Beliau tidak pernah menafikan bahawa dia manja dengan ibunya, dan laman media sosialnya kerap kali dipenuhi cerita tentang ibunya yang tercinta.
Anak Emak ini menggangap ibunya sebagai “idola” dan “wonderwoman”. Awal tahun ini, Syed Saddiq menjadi buah mulut media apabila dia membawa ibunya pergi menonton konsert Maher Zain Tour 2019.

Mark Adam
Penyanyi popular kelahiran Filipina ini tidak pernah melupakan janji yang dibuatnya kepada ibu ketika dia berusia 16 tahun.
“Mak, apabila saya dah besar nanti, saya akan belikan mak rumah.” Itulah janji yang diucapkan kepada ibu beliau pada tahun 1996.
Janjinya itu ditunaikan tahun ini, apabila Mark Adam, atau nama Islamnya Fikri Mark Adam Abdullah membuat kejutan kepada ibunya di kampung kelahirannya di Cebu, Filipina. Sifat murni Mark Adam itu mendapat pujian dari rata-rata peminatnya di Malaysia dan ramai yang mendoakan agar beliau terus dilimpahi rezeki.

Zizan Razak
Berlainan pula kisahnya dengan pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak. Artis serba boleh ini juga kerap menampilkan gambar-gambar serta cerita-cerita bersama ibu tercinta di laman media sosial beliau.
REPORT THIS AD
Apabila ditanya tentang jodoh, Zizan pernah membuat kejutan bahawa dia menyerahkan hal tersebut kepada ibu beliau.
“Saya memang berhasrat untuk meminta ibu yang carikan jodoh bila sampai masanya nanti. Walaupun ibu yang carikan jodoh tetapi saya mahu berkenalan dulu dengan wanita itu sama ada sesuai atau tidak untuk dijadikan calon isteri,” kata beliau.

Faisal Nasimuddin
Usahawan terkemuka, Datuk Wira Faisal Nasimuddin adalah seorang lagi anak emak popular yang sering memuat naik gambar-gambar bersama ibu beliau di Instagram.
Walaupun sudah dewasa dan berjaya, beliau nampak manja dan menyanyangi ibu beliau, Puan Sri Zaleha Ismail. Walaupun sibuk, beliau kerap membawa ibu beliau keluar makan tengahari atau makan malam dan berkongsi pengalaman tersebut bersama followers Instagram beliau.

Baru-baru ini, Datuk Wira Faisal telah berangkap ke Mekah untuk mengerjakan ibadat umrah bersama bonda tercinta. Beliau menulis “My mother..my Queen.. We are so blessed to have her unconditional love and care.. Please pray for her well being and that she is alwas protected by Allah SWT. That smile.. A big shout out to all mothers who raised us well….”

PU Riz
Pendakwah muda popular, PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail tidak kisah apabila diri beliau sebagai “anak emak”. Beliau berkata sepanjang dia menuruti kesemua kehendak ibu, hampir semua perkara yang dilakukan berjalan lancar.
“Banyak benda yang saya ikut kehendak ibu saya, ia menjadi. Bukan diberi rezeki yang sedikit tetapi melimpah ruah,” kata beliau baru-baru ini.
Hal ehwal pendidikan, penglibatan dalam dunia seni, dan urusan jodoh pun beliau akan mendapatkan restu ibu terlebih dahulu.
“Saya tidak kisah orang nak gelarkan saya ‘anak emak’ kerana ibu tetap nombor satu. Ini dari hati saya,” ujar beliau lagi.
Comments