Bahaya 'Malicious Mother Syndrome' Apabila Berlakunya Perceraian
- Farid Ramli
- Feb 24, 2019
- 2 min read
Mungkin kita tidak pernah dengar istilah 'Malicious Mother Syndrome' atau terjemahan ringkasnya Sindrom Ibu Berniat Jahat, tapi fenomena ini sebenarnya kerap berlaku apabila pasangan suami isteri bercerai dan proses perceraian tersebut mendatangkan pelbagai isu kepada kedua-dua belah pihak. Sindrom ini telah dipopularkan oleh seorang pakar undang-undang keluarga bernama Dr Ira Turkat pada tahun 1995.

Sindrom ini dikenalpasti dalam kes-kes di mana si ibu bertindak untuk cuba menjauhkan anak-anak dari ayah mereka, namun pada masa yang sama bertindak melancarkan kempen yang licik untuk memburuk-buruknya ayah mereka atau mendatangkan musibat kepada bekas suami mereka.
Banyak contoh di mana keadaan ini berlaku, antaranya mempamerkan kesusahan anak-anak walaupun sebenarnya mereka tidak hidup dalam kesusahan, mencederakan diri sendiri kemudiannya menuduh bekas suami telah bertindak ganas terhadap mereka, membakar rumah, menyebarkan cerita-cerita palsu tentang kelakuan seks bekas suami, memanipulasi orang lain termasuk orang ramai untuk membenci bekas suami dan menyebarkan fitnah untuk mensabotaj kerjaya bekas suami mereka.
Wanita-wanita yang bermasalah dengan sindrom ini seringkali mengganggu proses lawatan anak-anak mereka. Walaupun telah diberi kebenaran oleh pihak mahkamah, mereka akan melakukan apa sahaja demi menghalang ayah bertemu dengan anak-anak. Jika dibenarkan bertemu pun, mereka akan memendekkan masa lawatan dengan memberikan pelbagai alasan. Contohnya, membawa anak-anak keluar atau ke tempat lain pada waktu lawatan.

Wanita-wanita yang menghidap sindrom ini amat pandai menipu, memanipulasi dan kerap menyuruh pihak ketiga atau orang ramai untuk terlibat dalam kempen untuk memburuk-burukkan bekas suami mereka. Terdapat juga kes di mana wanita-wanita ini membayar pihak media untuk menyerang bekas suami mereka.
Mereka juga berkeupayaan untuk menipu di mahkamah ketika perbicaraan berlangsung. Mereka tidak akan teragak-agak untuk berlakon atau meyakinkan pihak mahkamah bahawa mereka betul dan segala-galanya adalah salah bekas suami semata-mata. Mereka sangat pakar memanipulasi orang lain atau situasi sehingga boleh meyakinkan pihak-pihak lain untuk memberi keterangan palsu.
Apabila dipersoal tentang sikap mereka menghalang bekas suami bertemu anak-anak, mereka akan memberikan penjelasan yang seakan-akan standard dalam setiap kes, contohnya seperti "saya telah memberi banyak peluang untuk dia bertemu anak-anak namun bila dia tiba, anak-anak akan menangis kerana tidak mahu berjumpa dengannya", "bekas suami tidak mengikuti jadual lawatan" atau "saya tunggu bersama anak-anak tapi dia tidak datang."
Semua ini terjadi kerana mereka telah memanipulasi anak-anak atau pun situasi untuk memberikan gambaran bahawa mereka tidak bersalah. Apabila satu pihak bertindak di luar batasan untuk memburuk-burukkan bekas pasangannya, yang menjadi mangsa adalah dua pihak. Satu, bekas pasangannya. Kedua, yakni yang paling besar kesannya, adalah anak-anak mereka.
Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak menjauhkan diri dari ayah mereka kerana anak-anak tidak mahu dan tidak gemar melihat atau mendengar konflik yang melibatkan kedua ibu-bapa mereka. Ibu-ibu yang bermasalah dengan Malicious Mother Syndrome ini kerap memanipulasi anak-anak mereka sendiri demi kepentingan peribadi.
Sebenarnya banyak kes-kes seperti ini terjadi di negara kita. Kita tidak menyedari atau mengetahui tentangnya kerana kita tidak berada dalam situasi tersebut serta kita tidak berada di kamar mahkamah. Apa yang kita tahu hanyalah apa yang dipaparkan di media atau daripada pihak ketiga.
Sebaik-baiknya, kita jangan libatkan diri dalam persengketaan antara pasangan yang bercerai atau sedang melalui proses perceraian. Biarlah penyelesaian dicapai antara mereka berdasarkan Syariat Islam dan peruntukan undang-undang. Yang paling penting di sini adalah kebajikan serta kesejahteraan anak-anak yang menjadi mangsa perbalahan orang dewasa. Janganlah kita menyemarakkan lagi penyakit mental yang dihidapi oleh sesetengah pihak kerana ini akan merugikan semua pihak.
Wallahu'aklam.
Sumber: http://www.fact.on.ca/Info/pas/turkat95.htm
コメント